Madah bicara orang orang tua banyak hikmahnya rupanya, mungkin kerana hirup udara dan makan garam dulu sebelum kita. Diam-diam ubi berisi. Walaupun diam namun dalam hati, tetap berzikir. Berzikir bagaimana? Sentiasa mengingat Dia yang Maha Kuasa yang menciptakan segalanya. Biar diam tapi berisi, jangan bising umpama tin kosong tidak terisi. Kuat bunyinya kerana tiada isinya. Madah kata cantik maksudnya, sampaikan pesan dalam kiasan. Kerana apa, beruntung bagi siapa yang berfikir. Ada sebuah kitab cinta dari Dia yang Maha Agung, titipkan kasih cintaNya dengan memberi perumpamaan untuk manusia supaya berfikir. Itu tujuan manusia diberikan akal. Seperti ayat ini,
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung , pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia agar mereka berfikir.
( Al-Hasyr : 21)
Maka, manusia. Berfikirlah.
Itu titipan cinta Tuhan Maha Kuasa. Tiada kata secantik titipan Dia yang Maha Mencipta.
Jauh kaki melangkah, luas mata memandang. Jika buka hati dan buka minda, pasti banyak hikmahnya. Cuma, jangan jalan mendabik dada. Cuma, jangan malu bertanya. Cuma, jangan sombong bila punya.
kadang kadang manusia suka mendongak bila berupaya,
lupa ketika lemah tak berdaya,
ada TUHAN yang bantu bangkit semula,
kadang manusia bila berbudi, minta dibalas
walau hanya secebis penghargaan,
lupa , Yang Maha Kaya tak pernah minta bayaran untuk secebis nafas,
pernah kau berterima kasih padaNya?
Dongaklah manusia untuk lihat sekerdil apa dirimu didunia, jangan lupa nafasmu itu tidak engkau punya.
Manusia,
Jangan tanam ubi bina batas, jangan berbudi jika minta dibalas.
Sekian buat kali ini.Wasalam.
Moga rahmat Dia Maha Esa sentiasa bersama kita,
Lots of love, Iyda Ikhlas
Ikhlaskan hatimu, bebaskan jiwamu.

